Pages

Click2 :)

Wednesday 2 May 2012

Biografi Agung Rasulullah

Biografi Agung Rasulullah ini perlu dimiliki umat Islam yang merindui, mencintai dan mengharapkan syafaat Baginda, yang diutus untuk umat akhir zaman, Nabi Muhammad SAW.  

Pembaca yang mendambakan koleksi lengkap sirah nabi bermula sebelum kelahiran sehingga kewafatan Rasulullah SAW wajar memiliki naskhah terbitan Must Read Sdn Bhd yang diterjemah secara ringkas tanpa ayat berjela-jela, padat dan mudah difahami termasuk golongan kanak-kanak. 

Sebanyak 17 bab dirangkumkan dalam biografi setebal 368 halaman yang didahului salasilah keturunan Rasulullah SAW yang dizahirkan dalam bentuk carta alir berwarna yang bermula daripada rasul pertama, Nabi Adam.

Berbeza sama sekali dengan karya sirah atau biografi lain, Rusydi ternyata memahami kehendak pembaca semasa yang gemarkan gaya penulisan kontemporari. 

 
Ia terserlah melalui pemilihan kata dan gaya bahasa yang mudah, pendekatan fakta ringkas dan ditambah pula dengan pemilihan tulisan bersaiz besar serta berwarna-warni pasti memberi nilai tambah, sekali gus memberi kepuasan kepada pembaca.

Antara pengisian menarik yang mampu menawan hati pembaca antaranya kelebihan umat Rasulullah, rangkaian selawat nabi yang seharusnya dijadikan amalan seharian dan pujian sahabat Rasulullah SAW yang menjadi pembantu, pegawai, pembawa panji, penulis dan juga penyimpan rahsianya.


Pembacaan ternyata menjadi lebih berkesan dan menarik dengan sentuhan foto berkaitan tajuk yang dibincangkan seperti yang diselitkan dalam bab ke-14, iaitu mengenai peperangan yang dilalui Rasulullah SAW apabila pembaca berpeluang melihat pedang, topi, busur panah dan lokasi serta kesan peninggalan peperangan.


Pembaca juga tidak seharusnya ketinggalan untuk melihat sendiri mangkuk yang digunakan Rasulullah SAW untuk mencelup tangannya sebelum wafat, batu tayamum yang digunakan dan selipar, malahan baju yang pernah dipakai Baginda, isteri dan sahabatnya termasuk Saidatina Aishah dan Saidina Ali.


Ilustrasi menarik turut dimuatkan seperti strategi peperangan dalam Perang Badar dan Perang Uhud yang menunjukkan kedudukan Rasulullah SAW dan tentera Muslimin serta tentera Musyrikin di kawasan pertempuran, selain peta perjalanan hijrah ke Habsyah.


Menariknya, penulis turut mengetengahkan tips santai mengenai pemilihan makanan sihat yang dikutip daripada sunnah Rasulullah SAW seperti penggunaan minyak zaitun dalam masakan, manisan madu dan mungkin ramai tidak mengetahui Baginda juga gemarkan buah labu, timun dan tembikai.

Golongan ibu bapa dan guru seharusnya menjadikan naskhah ini sebagai panduan serta rujukan bagi membimbing anak kecil dan pelajar kerana gaya penulisan dan persembahannya pasti mampu mencambah minat generasi muda mendalami dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikon dalam menyusuri kehidupan serba mencabar.


Apatah lagi paling meninggalkan kesan pastinya huraian bentuk tubuh, rupa paras dan perwatakan Rasulullah ketika hidupnya yang dipetik daripada petikan hadis.


Hamparan sejarah dibentang dan dirungkai dalam naskhah bermutu ini, turut memuatkan kisah isteri dan putera-puteri Rasulullah, akhlak, harta pusaka dan tentunya wasiat Rasulullah yang patut diingati dan harus tersemat kukuh di hati setiap umat Islam.


Karya yang kini menduduki tangga ketiga dalam carta terlaris Popular Book Co Sdn Bhd ini, menunjukkannya diterima ramai dan perlu dimiliki kerana dijual dengan harga yang sangat berpatutan berbanding kekayaan ilmu di dalamnya, iaitu RM65.


Profil Penulis: Ustaz al-Azhar menulis


 
RUSYDI Ramli Al-Jauhari dilahirkan di Benut, Pontian pada 5 September 1973, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Benut dan Sekolah Menengah Kebangsaan Benut, Pontian, Johor.

Beliau menyambung pengajian ke aliran agama di Sekolah Menengah Agama (Arab) Al-Bugisiah dan Maahad Johor serta Maahad al-Muhammadi, Kota Bharu sebelum melanjutkan pengajian di Univerisiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Dakwah dan Pendidikan Islam.

 
Beliau mula menulis sejak di bangku sekolah dan minat berkarya diteruskan sehingga ke peringkat universiti termasuk mengetuai penerbitan suara kampus dan majalah serta menghasilkan pelbagai kertas kerja ilmiah.

Beliau kini bertugas sebagai Penasihat Syariah di Must Read Sdn Bhd dan menghasilkan lebih lapan judul termasuk Himpunan Solat-solat Sunat, 10 Hari Kebesaran Islam dan Aurat Mahkota Wanita.


Rusydi turut aktif menyampaikan ceramah agama, motivasi dan mengajar Bahasa Arab di masjid dan pejabat Kerajaan. 


P/s : Belian online. Buku terus ke rumah anda tinggalkan komen di bawah jika berminat

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...